PBTSELANGOR

100 peserta jayakan ‘Bengkel Bajet 2019 Bersama Komuniti’ MBSA

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 SEPT: Seramai 100 peserta menjayakan Bengkel Bajet 2019 Bersama Komuniti anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Dewan Banquet Wisma MBSA, baru-baru ini.

Antara wakil komuniti terbabit adalah Wakil Majlis Perwakilan Penduduk Shah Alam, Persatuan Penduduk, Ahli Jawatankuasa Kampung, Pemaju, Pengilang, Institut Pengajian Tinggi, Badan Bukan Kerajaan dan Syarikat Korporat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, bengkel itu diadakan bagi membincangkan dan mendapatkan input serta cadangan daripada komuniti daripada pelbagai organisasi juga persatuan, supaya hala tuju bajet MBSA 2019 mengambil kira pandangan masyarakat yang ada di kawasan pentadbirannya.

“Ia juga bagi menentukan arah dan hala tuju dalam mencapai matlamat MBSA untuk menyediakan perkhidmatan yang efisien selain mewujudkan Shah Alam sebagai bandar raya yang bersih, indah, ceria serta selamat.

“Selain itu, penyediaan bajet juga bertujuan memastikan agihan peruntukan yang teratur bagi memenuhi keperluan organisasi.

“Penyediaan bajet juga bertujuan memastikan wujudnya akauntabiliti dalam pengurusan kewangan MBSA melalui laporan kewangan tahunan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, melalui pelaksanaan bengkel itu, pihaknya memfokuskan beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian terhadap peruntukan bajet 2019 mengikut kategori yang dikhususkan.

“Ia termasuk pembangunan infra jalan, lampu dan lalu lintas, pembangunan infra saliran dan cerun, kemudahan awam, pengindahan landskap dan rekreasi, pengurusan sampah, kesihatan persekitaran, pembangunan komuniti serta program bandar rendah karbon.

“Dengan penglibatan pelbagai pihak dalam bengkel ini, pihak kami dapat mengambil langkah proaktif bagi menyediakan perkhidmatan dan kemudahan perbandaran yang bersesuaian untuk semua pihak,” katanya.

Justeru, beliau berharap pelaksanaan bengkel berkenaan akan turut memberi impak positif bagi membantu pihaknya dalam merancang pembangunan, penyediaan perkhidmatan dan kemudahan serta menyediakan program juga aktiviti dikehendaki masyarakat Shah Alam.


Pengarang :