SELANGORSUKANKINI

1,000km laluan basikal di Selangor hampiri sasaran

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 23 SEPT: Usaha Kerajaan Negeri membina 1,000 kilometer laluan basikal di seluruh Selangor hampir mencapai sasarannya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek itu dijalankan bagi menggalakkan budaya hidup secara sihat di samping meningkatkan penggunaan basikal dalam kalangan masyarakat.

“Kalau nak lihat daripada keterlibatan awam dalam acara basikal sememangnya sudah ada dan sebab itulah Kerajaan Negeri komited dengan usaha membina laluan basikal di mana kita meletakkan sasaran 1,000 kilometer dan hampir mencapai sasaran.

“Ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah trafik tetapi juga dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas di mana kita boleh lihat agak ramai menggunakan laluan basikal yang sudah siap dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada acara Velo Fun Ride Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di Jalan Kota Warisan di sini, hari ini.

Amirudin berkata, aktiviti berbasikal di negara ini khasnya di Selangor semakin mendapat tempat dalam masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, selain jumlah pengguna laluan basikal yang semakin meningkat setiap hari, hal ini juga boleh dibuktikan dengan jumlah penyertaan yang tinggi setiap kali diadakan acara membabitkan kayuhan basikal.

“Sebenarnya aktiviti berbasikal ini sudah semakin rancak kira-kira lima tahun kebelakangan ini menjadi aktiviti yang popular di mana rata-rata setiap kali kita anjurkan acara kayuhan, paling kurang pun boleh dapat 500 hingga 1,000 orang akan sertainya,” katanya.


Pengarang :