NASIONAL

17 Terima anugerah CSM-ACE 2018

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Seramai 17 penggiat industri keselamatan siber, di negara ini menerima anugerah ekoran pencapaian dan sumbangan masing-masing dalam industri terbabit.

Antara penerima terbabit, Azizah Hamzah yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Keselamatan Siber.

Beliau yang pernah bertugas sebagai Pengarah Dasar Teknologi Maklumat di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah arkitek utama dalam usaha kerajaan menggubal Dasar Keselamatan Siber Nasional (NCSP) bagi memastikan keselamatan ruang siber negara.

Beliau berkata, keselamatan siber adalah aspek sangat penting bagi mana-mana negara.

“Keselamatan siber adalah satu perkara yang sangat sensitif kepada mana-mana negara, jadi kita mahu ia menjadi tanggungjawab kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada acara 10th Cyber Security Awards, Conference & Exhibition 2018 (CSM-ACE 2018) di Hotel Royale Chulan di sini, malam tadi.

Azizah juga memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif keselamatan siber Malaysia.

Seorang lagi penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup, Ong Ai Lin pula berkata, beliau sudah berkecimpung dalam keselamatan siber, sejak 30 tahun lalu.

“Saya sangat gembira dan bangga dengan anugerah ini kerana ia diberikan Cyber Security Malaysia yang juga badan induk keselamatan siber negara ini,” katanya.

Ai Lin yang kini adalah Pengarah Bukan Ekesekutif RHB Bank dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini juga pernah menerima beberapa anugerah lain.

Sementara itu, 15 yang lain menerima anugerah pelbagai kategori seperti Cyber Security Professional Of The Year dan syarikat keselamatan siber Terbaik 2018.

Anugarah disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.


Pengarang :