SELANGOR

241 wanita DUN Dengkil terima KISS

OLEH SHEEDA FATHIL

DENGKIL, 3 SEPT: Seramai 241 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), di sini, pada 30 Ogos lalu.

Penyerahan kad KISS itu disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil.

Adhif berkata, ikatan kebajikan itu amat bagus terhadap golongan sasar yang amat memerlukan bantuan sedemikian.

“Ia bertujuan meringankan beban tanggungan keluarga terutama kepada ibu yang tidak bekerja dan mempunyai anak ramai.

“Manakala, kepada mereka yang sudah memohon, urusan anda akan saya percepatkan dan berusaha untuk menyelesaikan dengan kadar segera,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook beliau.

Pada masa sama, Adhif turut mengucapkan terima kasih kepada wakil Selgate yang sudi hadir memberi penerangan berkenaan penggunaan kad KISS itu kepada orang ramai.

Terdahulu, KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 Selangor tahun lalu oleh mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui KISS, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Program itu memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta pakaian sekolah untuk anak di pasaraya juga kedai runcit terpilih.

Peserta KISS boleh mendapat bekalan berkenaan di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.


Pengarang :