PENDIDIKANSELANGOR

286 pelajar Tamil cemerlang UPSR 2017 terima anugerah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 SEPT: Seramai 286 pelajar Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 2017 bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil seluruh Selangor menerima anugerah kecemerlangan daripada Kerajaan Negeri.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, anugerah itu membabitkan pelajar cemerlang 8A (73 orang), 7A (107 orang) dan 6A (106 orang).

Katanya, program tahunan yang memasuki kali kelapan itu diadakan bagi menghargai pelajar cemerlang berketurunan India, sekali gus membuktikan peranan kaum itu tidak pernah dipinggirkan.

“Ini antara program terbesar anjuran Kerajaan Negeri kepada pelajar berbangsa India di bawah peruntukan anak pekerja ladang .

“Kerajaan Negeri berbangga melihat ramai anak-anak murid maju ke hadapan. Walaupun program ini tidak melibatkan belanja besar, tetapi memberi makna cukup besar kepada kaum India, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 2017 bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (Pakatan) tidak pernah meminggirkan kaum India, sebaliknya sentiasa menambah peruntukan dari masa ke semasa.

“Berbeza dengan pentadbiran sebelum ini yang seolah meminggirkan kaum India. Kami dianaktirikan, itu tidak boleh ditipu.

“Di Selangor, kita menyelamatkan sekolah-sekolah Tamil daripada dilupuskan. Sebanyak 15 tapak sekolah Tamil sudah diwartakan, malah peruntukan juga dinaikkan.

“Inilah kelebihan Negeri Selangor yang sentiasa menjadi peneraju dalam semua aspek,” katanya.

Beliau berharap program terbabit akan dapat diteruskan dari masa ke semasa dalam usaha menyuntik semangat pelajar untuk lebih berjaya pada masa hadapan.

 


Pengarang :