NASIONALPENDIDIKAN

4,000 guru KAFA diserap ke jawatan tetap bermula 1 Oktober

LABUAN, 22 SEPT: Kira-kira 4,000 daripada 32,800 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara akan menjadi kumpulan pertama yang diserapkan ke jawatan tetap dalam tempoh enam bulan bermula 1 Oktober ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, mereka merupakan guru-guru kontrak yang memenuhi syarat serta keperluan yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ini antara usaha yang diambil oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan bagi menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu, katanya pada program ramah mesra bersama guru-guru KAFA di Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, di sini hari ini.

Menurut Fuziah, guru KAFA berada di bawah dua pihak berkuasa iaitu sama ada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau Jakim dengan emolumen masing-masing ditanggung oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kewangan.

Lazimnya mereka yang di bawah JAWI tidak berdepan masalah berbanding Jakim yang bergantung kepada dana daripada Kementerian Kewangan, katanya.

Sementara itu, Fuziah berkata satu kertas kerja sedang disediakan untuk dikemukakan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri bagi menaik taraf sesetengah premis KAFA yang berada dalam keadaan daif.

“Pada masa sama, kita juga berharap wakil-wakil rakyat dapat membantu menaik taraf premis KAFA di kawasan masing-masing selain menghulurkan bantuan kewangan,” katanya yang turut menggesa jabatan dan majlis agama Islam negeri mengambil langkah sama.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :