NASIONAL

5 jawatankuasa ditubuh banteras nelayan asing

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 28 SEPT: Lima jawatankuasa bertindak ditubuh bagi membanteras isu pencerobohan bot nelayan asing, kata Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, jawatankuasa itu membabitkan lima kementerian antaranya MOA, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan.

“Jawatankuasa bertindak ini ditubuh bertujuan menyelesaikan masalah pencerobohan oleh warga asing yang sering berlaku di kawasan perikanan dan laut di Malaysia.

“Kehadiran warga asing ini mendatangkan kerugian besar terhadap hasil tangkapan Malaysia sehingga kita terpaksa import dari negara luar untuk keperluan ikan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Ketam, di sini, semalam.

Selain itu, Tze Tzin berkata, operasi bersepadu juga akan dilaksana membabitkan jawatankuasa bertindak dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Ia bertujuan mengekang pencerobohan dan rompakan hasil laut dengan senang sehingga mengakibatkan negara rugi besar.

“Bagaimanapun, kerjasama antara negara Asean untuk menyelesaikan masalah ini amat diperlukan supaya kita dapat membantu menjaga nama baik negara selain melindungi hak masing-masing,” katanya.


Pengarang :