SELANGOR

50% Ahli Majlis berkhidmat lebih empat tahun layak dilantik semula

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri menggariskan perkhidmatan seseorang Ahli Majlis di negeri itu hendaklah tidak lebih daripada empat tahun atau dua penggal berturut-turut.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Tze Han bagaimanapun berkata, sebanyak 50 peratus daripada jumlah Ahli Majlis yang sedang berkhidmat lebih empat tahun atau dua penggal berturut-turut layak dilantik semula.

“Langkah ini membolehkan wujudnya gabungan Ahli Majlis baru dan lama yang lebih berpengalaman,” katanya pada sesi soal jawab hari ketiga Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Tze Han berkata, Kerajaan Negeri turut menetapkan beberapa kriteria yang dipenuhi sebelum seseorang Ahli Majlis baru dilantik.

Antaranya, calon terbabit hendaklah seorang warganegara dan fasih berbahasa Melayu, berumur sekurang-kurangnya 21 tahun, bermastautin di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan sekurang-kurangnya lima tahun atau menetap daerah bersebelahan dan bukan seorang kakitangan kerajaan.

Katanya, calon hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai kelayakan akademi minima Sijil Pelajaran Malaysia atau setarafnya.

Selain itu calon Ahli Majlis juga perlu menduduki dan lulus ujian asas yang ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan.

Tze Han turut memberitahu, Kerajaan Negeri turut memastikan 30 peratus diisi oleh golongan wanita.


Pengarang :