BERITA UTAMASELANGOR

50,000 dijangka kunjungi Festival Al-Quran & Kesenian Islam Antarabangsa Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 SEPT: Yayasan Restu menyasarkan penyertaan lebih kurang 50,000 pengunjung dalam Festival Al-Quran & Kesenian Islam Antarabangsa Selangor bermula 27 hingga 30 September ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, festival diadakan di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di sini, turut menetapkan penyertaan lebih 100 pempamer dari seluruh tanahair.

“Kita menjangkakan kehadiran lebih kurang 50,000 pengunjung ke festival dalam tempoh empat hari ini.

“Penganjur juga menyediakan sejumlah besar Al-Quran untuk diperoleh dan diinfaq termasuk pelbagai aktiviti lain boleh disertai orang ramai,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, festival itu satu usaha memartabatkan Al-Quran dan mendekatkan ummah dengan sirah serta peninggalan Rasulullah S.A.W.

Katanya, penganjurannya bagi menyampaikan risalah Islam melalui Al-Quran dalam bentuk santai, mesra dan dapat disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan Islam.

“Buat julung kalinya, festival ini bakal mengadakan tujuh segmen di dalam satu lokasi iaitu Jualan Al-Quran Terbesar dan Pameran Kaligrafi, Pesta Makanan Islam Antaranbangsa, Bicara Selebriti, Pameran Seni Bina & Hiasan Dalaman Antarabangsa dan Pameran Rehlah Nabawiyyah, Supa Dupa serta ‘Food Truck’,” katanya.

Katanya, festival empat hari dianjurkan bersama Sinergi Ilmu Resources Sdn Bhd adalah acara sesuai bagi seisi keluarga juga platform mengetengahkan program dan ikon Islam dalam serta luar negara.

“Ia memanfaatkan teknologi moden serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sebagai medium dakwah yang sangat efektif,” katanya.


Pengarang :