dav
SELANGORYB ACTIVITIES

58 pasukan rebut Piala Azmizam Zaman Huri

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 24 SEPT: Kejohanan Liga Sepakan Penalti Piala Azmizam Zaman Huri menyaksikan 58 pasukan berentap merebut kejuaraan.

Kejohanan itu menyaksikan perlawanan terbuka berusia daripada 16 tahun hingga 55 tahun dari seluruh Pelabuhan Klang dan diadakan di Padang Marine, di sini.

Setiausaha Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Shahrul Adnan berkata, kejohanan sepakan penalti itu adalah kerjasama antara Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pelabuhan Klang dan Pasukan Kelab Bola Sepak Two Side.

Katanya, objektif kejohanan itu diadakan supaya golongan belia dapat menanam sifat yang tinggi terhadap kesukanan sekali gus tidak membuang masa dan terus mengamalkan gaya hidup sihat.

“Apabila wujudnya program sebegini golongan belia lebih terdedah dengan aktiviti berfaedah dan dapat merapatkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah Sepakan Penalti Piala Azmizam Zaman Huri, di sini.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Kelab Bolasepak Two Side, M Thanasegar berkata, beliau memuji program sebegini diadakan kerana ia sedikit sebanyak dapat mencungkil bakat golongan belia.

“Sepanjang pemilihan diadakan saya dapat lihat prestasi setiap peserta amat bagus dan setiap pasukan mempunyai semangat yang kental,” katanya.

Pada masa sama, Thanasegar berkata, sasaran beliau pada masa akan datang supaya ADN Pelabuhan Klang dapat memberi peruntukan untuk pihaknya membuka Akademi Bola Sepak bawah 12 tahun.

“Ia bertujuan untuk mencungkil bakat generasi muda di DUN Pelabuhan Klang ini dalam sukan bola sepak pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Kejohanan Liga Sepakan Penalti Azmizam Zaman Huri menawarkan hadiah keseluruhan RM5,000.

Johan membawa pulang RM2,5000; Naib Johan RM1,500 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang RM500.


Pengarang :