ADN Dengkil puji program Tabika Perpaduan cetus kreativiti | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Sheeda Fathil

ADN Dengkil puji program Tabika Perpaduan cetus kreativiti

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 SEPT Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah memuji program Pintar Kreatif yang dilaksanakan Tabika Perpaduan daerah Sepang yang berupaya mencungkil bakat dan kreativiti golongan kanak-kanak.

Beliau berkata, anak-anak merupakan pemimpin masa depan yang akan menjadi pelapis untuk memimpin negara pada masa akan datang.


“Menerusi penganjuran program seperti ini, kita dapat mencungkil bakat mereka sekali gus mendedahkan kepada pengalaman yang sangat berharga.

“Saya tertarik dengan pelbagai persembahan dan pertandingan yang dianjurkan dalam program ini yang mampu mencungkil bakat golongan kanak-kanak untuk lebih kreatif dan mengelakkan mereka daripada terus leka terhadap gajet,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan daerah Sepang, di sini, pada 20 September lalu.

Adhif Syan berkata, pada masa kini kebanyakan anak-anak lalai dengan gajet yang boleh membantutkan pemikiran kreatif mereka.

“Oleh itu, adalah penting untuk anak-anak didedahkan dengan pelbagai stimulasi positif seperti bermain, bergaul dan berinteraksi dengan rakan sebaya, ibu bapa dan guru.

“Malah, sokongan daripada ibu bapa juga amat penting bagi memastikan perkembangan anak-anak di landasan yang betul. Walaupun kita sudah menghantar anak-anak ke Tabika Perpaduan, namun tanggungjawab mendidik dan membimbing masih lagi di bahu ibu bapa dan seharusnya tidak dipikul oleh guru sahaja,” katanya.

Sementara itu, Adhif Syan turut memuji silibus pendidikan di Tabika Perpaduan yang mematuhi garis panduan pendidikan awal kanak-kanak yang memudahkan mereka mengorak langkah mendapatkan pendidikan formal di sekolah kebangsaan pada tahap seterusnya.

Katanya, penganjuran pertandingan seperti itu adalah salah satu strategi untuk melahirkan anak-anak yang petah berkata-kata, menanam jati diri positif dan seterusnya penting bekerja dalam berkumpulan.

Antara pengisian program, peserta yang terdiri daripada pelajar Tabika Perpaduan perlu membaca artikel Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Pertandingan Fesyen menggunakan bahan terbuang serta pertandingan koir.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next