SELANGOR

ADN Permatang : Jom jalani ujian Pap Smear percuma

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Rozana Zainal Abidin mengajak wanita menjalani ujian pemeriksaan Pap Smear secara percuma.

Pemeriksaan Pap Smear itu merupakan anjuran Pusat Khidmat ADN Permatang yang akan diadakan pada 16 September bermula jam 8 pagi hingga 2 petang, bertempat di Klinik Desa Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang.

Sementara itu, Rozana berkata, penganjuran program itu bertujuan memberi kesedaran kepada wanita untuk menjaga kesihatan terutama berkaitan pangkal rahim.

“Program ini memberi manfaat kepada wanita khususnya di luar bandar yang kurang diberi pendedahan berkenaan pentingnya ujian Pap Smear ini terutama kepada mereka yang sudah melahirkan anak.

“Saya mahu wanita di luar bandar ini sentiasa ‘alert’ dengan penjagaan kesihatan membabitkan pangkal rahim kerana ia dapat membantu mereka mencegah penyakit yang tidak diingini seperti kanser daripada dihidapi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, beliau menyeru wanita di DUN Permatang untuk hadir pada 16 September ini untuk menjalani ujian Pap Smear selain pelbagai aktiviti lain seperti ceramah perancangan keluarga, aktiviti memasak dan program mewarna kepada kanak-kanak.

“Kebanyakan orang takut atau tidak tahu berkenaan ujian ini, namun kita sebagai wanita perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana kita merupakan tonggak kepada keluarga.

“Jadi saya amat menggalakan anda semua supaya hadir melakukan ujian Pap Smear ini kerana ia percuma sahaja,” katanya yang turut menjangkakan program itu dilakukan sebagai program tahunan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan.

Antara syarat penyertaan untuk menjalani ujian Pap Smear ini adalah terbuka kepada wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri Permatang; berusia 35 tahun ke atas; tidak hamil; tidak haid dan belum menjalani pemeriksaan Pap Smear untuk tahun ini.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Khidmat ADN Permatang di talian 03-3281 2069 atau WhatsApp 013-375 1968 (Syuhada).

 


Pengarang :