BERITA UTAMASELANGOR

ADN Sungai Air Tawar dilantik Ketua Pembangkang Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail dilantik sebagai Ketua Pembangkang Selangor.

Pelantikan itu diumumkan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim pada Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan DNS Ke-14 Tahun 2018, di Dewan Annex, di sini.

Suee Lim berkata, pihaknya menerima surat pencalonan jawatan itu daripada Barisan Nasional Selangor, pada 27 Jun lalu.

“Sidang DUN membuat penelitian dan bersetuju memasyhurkan Rizam sebagai Ketua Pembangkang Selangor.

“Saya berharap semua ADN dapat menerima pelantikan ditetapkan dan berharap ketua pembangkang baharu ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik serta tidak meletak jawatan,” katanya.

Sementara itu, Rizam dalam usulnya berkata, beliau mengakui jumlah pembangkang semakin berkurangan sejak 2008, iaitu daripada 12 ADN kepada lima orang sahaja.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah alasan untuk pihaknya tidak membabitkan diri dalam proses semak dan imbang Kerajaan Selangor.

“Kami akan terus menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri, jika sebelum ini ada perbezaan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan ekoran perbezaan parti, maka selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kita berharap apa yang tidak diselesaikan, akan selesai segera,” katanya.


Pengarang :