SELANGOR

Air pasang besar: Penduduk pesisir pantai disaran siap siaga

BANTING, 6 SEPT: Penduduk di sekitar pesisir pantai Kuala Langat dinasihatkan bersiap siaga berdepan fenomena air laut pasang besar yang dijangka berlaku 10 hingga 12 September ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, fenomena air laut pasang besar kali ini dijangka berlaku di kawasan pesisir pantai di daerah itu dengan ketinggian mencecah sehingga 5.5 meter.

“Antara kawasan berisiko mengalami banjir adalah kawasan Pantai Kelanang, Kwee Kee Fishery, Istana Bahagia Morib, Rumah Persekutuan Morib, pesisir kawasan Tanjung Sepat, Jalan Harmoni, dan Jalan Kundang 6.

“Penduduk di pesisir pantai dan kawasan di jangka terlibat diharapkan lebih berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya banjir.

“Pengunjung kawasan perangainan Pantai Kelanang dan Morib juga dinasihatkan tidak terlalu hampir dengan pantai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zain berkata, MDKL akan menggerakkan Skuad Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) bagi melakukan pemantauan serta bersiap siaga melakukan kerja pemindahan mangsa banjir.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, penduduk boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Daerah, Pejabat Daerah Kuala Langat melalui talian 03 – 3182 2565.


Pengarang :