SELANGORSUKANKINI

Air Selangor juara Sukan Bekalan Air Se-Malaysia 2018

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 SEPT: Air Selangor muncul juara kejohanan Sukan Bekalan Air Se-Malaysia 2018 (SBAM 2018) yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini.

Ketua Sumber Manusia dan Pentadbiran Air Selangor, Raja Ahmad Hidzir Raja Muhamad berkata, pihaknya berjaya merangkul 21 pingat dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

Katanya,ia membolehkan Air Selangor mendahului 13 operator air lain di Malaysia sekaligus menduduki tempat pertama.

“Ini adalah kali pertama Air Selangor menjuarai kejohanan sukan di antara operator-operator air di Malaysia.

“Acara kesukanan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara operator-operator air seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Raja Ahmad Hidzir berkata, pihaknya menghantar kontinjen yang terdiri daripada 114 kakitangan bagi menyertai acara antaranya futsal, badminton, bola jaring, bola tampar, boling, sepak takraw dan ping pong.

“Kejayaan Air Selangor adalah hasil usaha setiap peserta yang berusaha memberikan kerjasama terbaik untuk mengharumkan nama syarikat.

“Pihak pengurusan juga membantu peserta dengan menggunakan kepakaran jurulatih professional dalam program melatih peserta sebelum mereka menyertai kejohanan SBAM,” katanya.

Syarikat Air Johor Holdings Berhad menjadi tuan rumah SBAM 2018 mendapat tempat kedua manakala Lembaga Air Perak mendapat tempat ketiga.


Pengarang :