SELANGOR

Allahyarham Abu Hassan selamat dikebumi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Makam Diraja Shah Alam bagi menghadiri pengkebumian bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar.

Turut mengiringi baginda, DYMM Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 2.30 petang.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Anak bongsu arwah, Datin Hasnorhana Abu Hassan, 41, berkata, Allahyarham tidak pernah mengalami sakit kronik sebelum ini, bagaimanapun bapanya pernah menjalani rawatan ‘bypass’ kira-kira 20 tahun lalu.

“Cuma semalam ketika kejadian, arwah mengadu sakit belakang. Ketika itu, arwah hanya bersama dengan pembantu rumah.

“Pembantu telefon menantu yang tinggal berhampiran, sebelum di bawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia 8.05 malam akibat serangan jantung,” katanya.

Hasnorhana berkata, arwah juga tidak menunjukkan perubahan ketara sebelum pemergiannya.

“Cuma akhir-akhir ini kita nampak arwah begitu sayang dan ambil berat hal cucu-cucunya dan selalu berhubung menerusi mesej di telefon bimbit secara kerap,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Allahyarham baru sahaja menerima cicit pertama pada Hari Kebangsaan negara, 31 Ogos lalu.

“Allahyarham dilihat gembira apabila menerima cicit lelaki pertamanya itu.

“Ia merupakan anak saudara saya iaitu anak kepada kakak saya.

“Saya nampak arwah Tan Sri gembira dan hari-hari hantar gambar dan berulang-alik ke Ampang untuk menjenguk cicit,” katanya.

Malam semalam, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tiba di perkarangan kediaman sekitar jam 11.30 malam bagi memberikan penghormatan terakhir.

Mereka menyertai majlis tahlil ringkas dan bacaan Yaasin sebelum meninggalkan kediaman setengah jam kemudian.

Abu Hassan merupakan Menteri Besar Selangor yang ke-12 dan memimpin negeri ini pada tahun 1997 sehingga 2000.

Allahyarham juga merupakan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Selangor.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.


Pengarang :