SELANGOR

Allahyarham Tan Sri Abu Hassan bakal disemadikan di Makam Diraja Shah Alam

OLEH AFIX REDZUAN

KOTA KEMUNING, 9 SEPT: Jenazah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar dijangka akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam selepas Zohor, 9 September.

Pegawai khasnya, Datuk Mohamad Isa Ishak berkata, jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin berkenan berangkat ke Makam Diraja Shah Alam untuk menghadiri perkebumian Allahyarham,” katanya ketika ditemui di kediaman di Oncidium Height.

Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tiba di perkarangan kediaman sekitar jam 11.30 malam bagi memberikan penghormatan terakhir.

Mereka menyertai majlis tahlil ringkas dan bacaan Yaasin sebelum meninggalkan kediaman setengah jam kemudian.

Abu Hassan disahkan meninggal dunia pada jam 8.05 malam akibat serangan jantung.

Beliau merupakan Menteri Besar Selangor yang ke-12 dan memimpin negeri ini pada tahun 1997 sehingga 2000 dan juga merupakan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Selangor.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

 


Pengarang :