SELANGOR

Ambil tindakan individu cuba gugat pentadbiran negeri

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 3 SEPT: Biro Disiplin KEADILAN menggesa parti mengambil tindakan terhadap individu yang memburukkan pentadbiran Kerajaan Selangor sedangkan ia digunakan sebagai modal kempen sebelum pilihan raya.

Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Haniza Talha berkata, parti itu tidak sepatutnya mempunyai ahli yang bertindak sebagai anasir jahat dan mahu meruntuhkan kecemerlangan Selangor.

“Sebelum menang gunakan Selangor sebagai bahan kempen tetapi apabila sudah menang, burukkan Selangor. Apa barang ahli parti seperti ini?

“Biro Disiplin parti perlu mengambil tindakan terhadap individu seperti ini yang jelas ingin mengggugat pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Perdana Selangor 2018; Membingkai Muafakat, Melaksana Reformasi, di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, semalam.

Katanya, sekarang bukan masa sesuai mencari kesalahan terapi berusaha menunaikan permintaan rakyat dan meneruskan agenda reformasi yang diasaskan, sejak 20 tahun lalu.

“Pengorbanan yang dilakukan selama ini dalam mengangkat hak rakyat perlu dipertahan memandangkan sokongan kemenangan 51 kerusi di Selangor adalah mesej jelas kepercayaan rakyat kepada Pakatan Harapan,” katanya.


Pengarang :