NASIONAL

Ambrin sedia tampil jadi saksi siasatan semula 1MDB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi berhubung siasatan semula pendakwaan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor komited untuk tampil bekerjasama memberi kenyataan jika diperlukan pihak berkuasa.

“Kita mempunyai laporan daripada Jabatan Audit yang sudah digunakan sebagai asas kepada Kerajaan Persekutuan, jadi jika perkara ini hendak dibawa ke mahkamah dan memanggil saya sebagai saksi, saya akan pergi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440H Peringkat Negeri Selangor, di Dewan Solat Atas, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Sebelum itu, Ambrin turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1440H Peringkat Negeri Selangor atas sumbangan dan jasa bakti membangunan ummah di negeri itu.

Beliau menerima wang tunai RM20,000, trofi, sijil penghargaan, set sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.

Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Tengku Laksamana Selangor, Tengku Dato’ Seri Sulaiman Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mengiringi Tengku Laksamana, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.


Pengarang :