SELANGOR

Amirudin sokong Mohamed Azmin kekal Timbalan Presiden KEADILAN

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 2 SEPT: Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Amirudin Shari menyatakan sokongan terhadap Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tanpa rasa takut dan bersikap apologetik.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, rekod lampau Mohamed Azmin sejak bermulanya reformasi pada 2 September 1998 membuktikan segalanya termasuk di saat parti hanya mempunyai satu kerusi Parlimen pada 2004.

“Tanpa rasa apologetik, tidak rasa takut saya menyokong Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Mohamed Azmin bergerak ke seluruh negara mempertahankan parti disaat kita mempunyai satu kerusi pada 2004.

“Kita perlu tengok ‘track record’, jangan terpesona dengan slogan semata-mata,” katanya pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Perdana Negeri Selangor 2018; Membingkai Muafakat, Melaksana Reformasi di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau berkata, di bawah kepimpinan Mohamed Azmin dan Ketua Wanita, Zuraida Kamarudin, KEADILAN Negeri Selangor melakar rekod kemenangan 100 peratus disamping kedudukan kerusi 51 Dewan Negeri Selangor.

Selain itu, pengenalan beberapa program membantu rakyat seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) turut menarik perhatian ramai disamping modul pentadbiran negeri kini diangkat sebagai contoh di peringkat Persekutuan.


Pengarang :