GLOBAL

Angka kematian gempa bumi, tsunami meningkat kepada 48 orang

JAKARTA 29 SEPT: Angka kematian akibat gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi semalam, dilaporkan meningkatkan kepada 48 orang, berdasarkan pengumuman rasmi yang dibuat agensi bencana Indonesia, hari ini.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), seramai 356 lagi mangsa disahkan cedera susulan ombak besar setinggi hampir tiga meter melanda bandar yang mempunyai kira-kira 350,000 penduduk.

Sebahagian besar mangsa ditemui di kawasan pantai, yang sebelum itu digegarkan dengan gempa bumi dengan kekuatan 7.4 magnitud.

“Kebanyakan daripada mayat mangsa ditemui di kawasan pantai akibat tsunami, tetapi jumlah yang tepat masih belum diperoleh,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu sidang media di sini.

Katanya, setakat ini, sekurang-kurangnya 48 penduduk disahkan terkorban dan angka itu dijangka meningkat.

Beliau turut menyifatkan, insiden itu menyebabkan kemusnahan besar, apabila ratusan kediaman, hospital, pusat beli belah dan hotel runtuh, sementara jambatan dihanyutkan ombak besar.

“Mayat mangsa yang maut turut ditemui di celah bangunan yang runtuh,” katanya.

Imej yang disiarkan di televisyen menunjukkan, ketika ini, puluhan penduduk yang cedera dirawat di khemah perubatan sementara yang dibina di luar bangunan.

Sementara itu, BNPB masih gagal mendapatkan sebarang maklumat mengenai keadaan di Donggala, yang terletak kira-kira 27 kilometer dari pusat gempa.

Lebih 600,000 penduduk tinggal di Donggala dan Paju.

SUMBER: AFP/Reuters


Pengarang :