Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak
NASIONAL

Anwar dedah tolak jawatan Presiden UIAM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 7 SEPT: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pernah menolak tawaran jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi sokongan sepenuhnya terhadap pentadbiran diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, tindakan terbabit juga bagi memastikan kepimpinan Tun Dr Mahathir berada di landasan kukuh selepas mengambil alih pemerintahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kerja saya sekarang apa? Tidak ada jawatan apa-apa. Saya beritahu Dr Mahathir juga ketika ini saya tidak mahu apa-apa.

“Baru ini dicadangkan sebagai presiden UIA juga saya tidak mahu, kerana saya nak sokong kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ceramah Perdana, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sudah lama menolak tawaran itu dan enggan mengulas berhubung pelantikan Maszlee.

Katanya, pihaknya menyerahkan perkara terbabit ke kabinet untuk dibincangkan.

“Itu mereka bincang dalam kabinet,” katanya ringkas.

Terdahulu, Maszlee dilantik menggantikan Tan Sri Rais Yatim sebagai presiden kelapan UIA, berikutan kekosongan kerusi itu sejak tempoh perkhidmatan lima tahun Rais tamat kontrak Jun lalu.

Sebelumnya, Bahagian Komunikasi Korporat UIAM menerusi kenyataan, merakamkan setinggi tahniah atas pelantikan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai Presiden universiti selama tiga tahun, bahkan disambut baik warga universiti itu.

Bagaimanapun, pelantikan itu mengundang sedikit perselisihan faham memandangkan beliau adalah Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.


Pengarang :