NASIONAL

Anwar mahu betulkan negara bukan PM semata

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 28 SEPT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) P 132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan terjun ke arena politik kembali semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau mahu berperanan sebagai Ahli Parlimen yang berfungsi sebagai ‘check and balance’ supaya Menteri PAKATAN tidak tersasar seperti pentadbiran terdahulu.

“Saya mahu jadi Ahli Parlimen supaya dapat memberi pandangan kepada Menteri atau Ahli Parlimen lain.

“Peranan jawatankuasa parlimen juga boleh membantu kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Bilik Gerakan Utama dan Pelancaran Jentera Pakatan Harapan, di PD Waterfront, di sini.

Pada masa sama, Anwar mahu semua pihak supaya tidak melaga-lagakan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhammad.

Katanya, semua pihak perlu memberi peluang kepada Perdana Menteri itu untuk menjalankan tanggungjawab dengan baik dan memperbetulkan keadaan yang rosak.

“Negara ini banyak rosak. Setiap jabatan, kementerian semua rosak. Ada pegawai kerajaan bergaji RM260,000 sebulan. Tidak pernah terfikir.

“Jangan lagakan Anwar dan Mahathir. Kami sudah bergaduh 20 tahun sekarang baru baik jangan jadi hati busuk suruh bergaduh. Doa untuk negara kita baik.

“Jangan doa bagi orang bergaduh bagi peluang bawa perubahan. Doakan kesihatan Mahathir tadbir dengan baik. Dengan sokongan kita. Buat apa nak berebut. Saya sudah tunggu 20 tahun, jadi sabar,” katanya.


Pengarang :