NASIONAL

Anwar optimis bangun PD dalam pelbagai sektor

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 28 SEPT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan calon Pakatan Harapan bagi Parlimen P132 Port Dickson berjanji akan membantu membangunkan kawasan berkenaan dalam pelbagai sektor.

Katanya, beliau mengambil pendekatan berbeza dan tidak hanya menjanjikan bulan bintang.

“Saya mahu perumahan rakyat kepada penduduk Port Dickson, kedai dan gerai untuk peniaga disiapkan.

“Saya juga mahu pantai-pantai kembali dibersihkan. Jika Singapura dulu paling kotor tetapi tidak sampai 10 tahun, kini menjadi sangat bersih.

“Saya juga akan bawa pelabur-pelabur ke kawasan ini. Kita mesti pacu pembangunan, saya tawar diri menjadi Ahli Parlimen, Perdana Menteri itu cerita lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Bilik Gerakan Utama dan Pelancaran Jentera Pakatan Harapan, di PD Waterfront, di sini.

Anwar yang merupakan Bekas Menteri Pendidikan juga akan melancarkan program pendidikan khas yang istimewa tidak lama lagi.

Katanya, program istimewa berkenaan tidak pernah lagi dilaksanakan sebelum ini.

“Program ini boleh diambil contoh oleh negeri-negeri lain. Ia untuk pendidikan anak-anak dari darjah 1 hingga tingkatan 5,” katanya.


Pengarang :