NASIONAL

Anwar sedia ‘bersama’ pembangkang tegur Kerajaan jika berlaku kecuaian

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk ‘bersama ‘ pembangkang untuk menegur Kerajaan jika berlaku kecuaian dalam pentadbiran.

Beliau yang memberikan bayangan untuk kembali ke Dewan Rakyat dalam masa terdekat sebagai Ahli Parlimen berkata, pengalaman sebagai Ketua Pembangkang dahulu menyebabkannya meneliti setiap helaian Laporan Ketua Audit Negara dan menggunakannya sebagai ‘peluru’ menyerang Kerajaan.

Selain itu, beliau juga boleh mendapatkan maklumat mengenai beberapa perkara menerusi Ketua Pengaeah Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

“Sekarang saya hendak ingatkan menteri-menteri, giliran Pembangkang membaca laporan audit dan mereka serang kita kalau kita cuai.

“Dan saya akan masuk Parlimen dalam tempoh singkat ini kalau menang. Kalau serangan pembangkang itu tepat, dan ada kerosakan penyelewengan serta kecuaian pada menteri, saya akan bersama dengan pembangkang untuk turut menyerang,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan penutup Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018; Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dalam ucapannya beliau turut menyokong langkah Kerajaan untuk membatalkan projek jika berlaku urusan pindah milik demi mendapatkan keuntungan singkat namun kesalahan juga perlu diletakkan kepada pihak memberi kontrak yang sedia maklum mengenai kelemahan penerima kontrak.

“Apabila kita menyatakan kalau ada kontrak, kalau dijual memang benar salah penjual tetapi benar juga salah mereka yang menganugerahkannya.

“Sudah tahu dia kaki songlap yang nak beri kontrak buat apa, dah tahu jual AP yang nak bagi kepada ketua-ketua cawangan, bahagian cabang ini kenapa?” katanya.


Pengarang :