NASIONAL

Anwar tumpu pembangunan Port Dickson

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 29 SEPT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu mencampuri urusan pencalonan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Sebaliknya, beliau mahu menumpukan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan berkenaan.

“Saya tidak mahu campur soal itu. Saya hanya mahu menumpukan kerja saya di sini dan saya pasti kepimpinan juga mengambil keputusan yang sama,” katanya dalam sidang media selepas penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Ketika ditanya pertandingan tujuh penjuru pada PRK itu, beliau mahu kesemua jenteranya bekerja keras memastikan kemenangan Pakatan.

Katanya, ketika ini beliau menerima sokongan kuat daripada semua gabungan antaranya BERSATU, DAP dan AMANAH.

“Saya tidak menganggap laluan mana-mana pilihanraya itu mudah.

“Saya mengambil pandangan sengit atau tidak kita perlu kerja kuat dan saya berterima kasih kepada semua jentera dan penyokong yang memberi sokongan penuh pada pilihanraya kali ini,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) P 132 Port Dickson menyaksikan pertembungan tujuh penjuru diantara Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS dan lima orang calon bebas.

Antara calon yang akan bertanding selain Anwar dan Saiful adalah, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan Leftenan Kololonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Manakala, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong bertanding tiket bebas, selain Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen.


Pengarang :