SELANGOR

Arak beracun: EXCO saran orang ramai lapor pihak berkuasa

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 21 SEPT : Orang ramai diminta melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui mana-mana premis menjual arak beracun, sekitar negeri itu, kata EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memandang serius isu berkenaan bagi mengelakkan lebih banyak lagi kejadian meragut nyawa daripada terus berlaku.

“Saya sarankan kepada orang ramai jika ternampak kedai menjual arak yang mencurigakan, mohon untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan berhampiran anda. Kerjasama semua pihak amat diperlukan.

“Selain itu, saya nasihatkan kepada orang ramai supaya jangan minum arak. Jika mahu membelinya, pastikan dari kedai yang berlesen atau boleh dipercayai serta elakkan beli di kedai ‘underground’ kerana kita tidak tahu puncanya dari mana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Anggota Penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),di Dewan Sivik, MBPJ, di sini, hari ini.

Selain itu, Sze Han berkata, Kerajaan Negeri dan polis sedang mencari punca sebenar untuk menyelesaikan kes arak beracun itu.

“Operasi serbuan akan tetap diteruskan bersama agensi berkaitan. Jika terdapat premis yang tidak mempunyai lesen, maka kita tidak teragak-agak untuk menutupnya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan seramai 20 orang mati akibat keracunan alkohol, di Selangor.

Tiga jenama minuman beralkohol yang disyaki mengandungi racun methanol ialah Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky dan bir berjenama King Fisher.

 


Pengarang :