AGAMASELANGOR

Asnaf fakir kurang upaya dapat perhatian LZS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 16 SEPT: Kisah seorang asnaf fakir yang mengalami kecacatan seumur hidup sejak dua tahun lalu dan menjadi tular di laman sosial baru-baru ini, mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila menerima bantuan kewangan bulan RM400.

Asnaf fakir dikenali Abdullah Gunalan Ramathan itu merupakan seorang mualaf yang telah memeluk Islam sejak lima tahun lalu.

Beliau juga dilahirkan dalam keadaan normal, tetapi segala kegembiraan dan harapan untuk melalui kehidupan seperti orang lain terhenti setakat itu sahaja apabila terbabit dalam kemalangan sehingga membataskan pergerakan.

LZS menerusi Facebook berkata, sebelum ini Ramathan menerima kadar bantuan kewangan bulanan sebanyak RM250 sebulan dan dinaikkan kepada RM400 sebulan bermula Julai lalu.

“Mereka turut menerima bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

“Selain itu, beliau menerima bantuan dari Zakat Selangor berbentuk makanan basah secara bulanan, bantuan Ramadhan dan Hariraya sebanyak RM650 serta menerima beberapa kali bantuan kecemasan kaunter ekspress,” katanya.

Selain itu, LZS turut membantu menjelaskan tunggakan bil air SYABAS berjumlah RM451.

Katanya, antara bantuan Zakat Selangor lain sedang dalam proses adalah tunggakan bil Tenaga Nasional Berhad (TNB), termasuk tunggakan yuran sekolah dua anak mangsa, bantuan perubatan seperti kerusi roda serta katil.


Pengarang :