NASIONAL

Azhar Azizan Pengerusi SPR baharu

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pakar undang-undang, Azhar Azizan, dilantik sebagai Pengerusi baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar ketika mengumumkan hari ini berkata, Azhar, 56, mengambil alih jawatan daripada Mohd Hashim yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 1 Julai.

Katanya, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V juga memperkenankan pelantikan berkenaan.

“Azhar memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya dan Sarjana Undang-Undang dari King’s College, University of London, adalah peguam bela dan peguamcara dengan Messrs Azhar & Goh dan mempunyai kepakaran dalam undang-undang pilihan raya.

“Beliau melancarkan kariernya dalam undang-undang pada 1987 di Allen & Gledhill. Dari 1992, beliau berkhidmat sebagai peguam di Tetuan KH Koh, Azhar & Koh,” katanya.

Selain itu, Ismail berkata, Azhar juga pernah berkhidmat di beberapa firma undang-undang terkemuka termasuk Messrs Khaw & Hussein; Tetuan TH Su & Partners; Messrs Lamin & Co; Tetuan Hisham Sobri & Kadir; Tetuan Shafee & Co dan Messrs Cheang & Ariff.

“Saya yakin kelayakan dan pengalaman membolehkannya menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik sebagai Pengerusi SPR seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

-Bernama


Pengarang :