SELANGOR

Azmin: Hasrat MCA bela rakyat sudah terlambat

OLEH HAFIZAN TAIB

BALAKONG, 8 SEPT: Pengundi perlu menolak MCA dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong hari ini kerana kegagalan membela rakyat ketika memegang tampok kuasa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hasrat disuarakan calon parti itu, Tan Che Teong untuk memainkan peranan sebagai pembangkang berkesan kepada kerajaan dianggap tidak bermakna lagi.

“Ketika berkuasa, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, curi wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbilion ringgit awak diam dan tiada ‘check and balance’. Masa Umno bawa politik perkauman, awak diam dan tiada ‘check and balance’.

“Sekarang baharu mahu laksanakan ‘check and balance’. Tiada jalan dan sudah terlambat untuk MCA,” katanya pada Grand Finale PRK Balakong, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong perlu mengekalkan Pakatan Harapan di kawasan itu dan menolak MCA seperti sebelumnya.

Katanya, perubahan pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 adalah bukti rakyat inginkan perubahan seperti dinikmati penduduk Selangor, sejak 2008.

“Kita di Selangor berasa gembira dengan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) kerana orang Melayu, Cina dan India rasa selamat, terbela serta mendapat perlindungan.

“Dasar PAKATAN di peringkat nasional dan negeri perlu adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau etnik mereka,” katanya.

PRK Balakong diadakan hari ini menyaksikan satu lawan satu antara calon PAKATAN, Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong.


Pengarang :