SELANGOR

Azmin terharu, mahu bawa kejayaan Selangor ke Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 SEPT: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali terharu dengan pengiktirafan yang diberikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap pencapaiannya ketika memikul tanggungjawab sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor.

Mohamed Azmin berkata, beliau berusaha membawa kejayaan cemerlang di peringkat Persekutuan seperti yang dicapainya sepanjang berkhidmat di Selangor sebelum ini.

“Sudah tentulah titah nasihat tuanku supaya saya dapat menjalankan tugas dengan baik itu menjadi satu dorongan untuk melaksanakan tugas mencabar ini,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa itu berkata demikian kepada media selepas selesai Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut melahirkan keyakinan beliau mampu melaksanakan tugas dengan baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan jemaah Menteri Kabinet lain.

Katanya, beliau akan berusaha untuk mengembalikan Malaysia sebagai satu kuasa ekonomi yang gagah di rantau ini.

Pada Mei lalu, Sultan Sharafuddin memberi perkenan kepada Mohamed Azmin untuk melepaskan jawatan sebagai Dato’ Menteri Besar bagi membolehkannya menerima tawaran jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat persekutuan.

Mohamed Azmin yang dilantik sebagai Menteri Besar pada September 2014 dianggap berjaya meletak penanda aras baru bagi mana-mana Menteri Besar yang dilantik selepas beliau.


Pengarang :