BERITA UTAMANASIONAL

Batal kontrak dan AP jika dipindah milik

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Kerajaan bertegas sedia membatalkan kontrak serta merta jika ia dipindah milik kepada pihak lain dan pertolongan tidak akan diberikan kepda kumpulan yang mahu memperoleh kekayaan segera.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kewujudan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini sudah memberikan banyak peluang kepada golongan Bumiputera dan orang Melayu menerusi ‘Approval Permit’ (AP) dan kontrak tetapi hanya segelintir sahaja berusaha melaksanakannya.

Katanya, lebih mengecewakan, ada penerima kontrak dan AP bertindak menjual peluang berkenaan demi mencari kekayaan segera tanpa berusaha melaksanakannya.

“Di harap kongres ini serius dalam usaha memperbaiki nasib Bumiputera dan orang Melayu. Kongres ini perlu serius untuk melakukan keputusan yang baik jika ada.

“Kalau ianya terhad kepada meminta-minta saya percaya walaupun kerajaan ini akan dikalahkan kerana tidak menunaikan permintaan, itu tidak mengapa bagi kita.

“Bukan kita berada di sini untuk menganiaya kaum dan bangsa kita sendiri. Itulah harapan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018; Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Katanya, beliau menggesa pihak yang mendapat AP dan kontrak untuk melaksanakannya sebaik mungkin bagi memastikan kejayaannya.

“Jangan jual peluang, AP dan kontrak. Pertolongan tidak akan diberikan kepada mereka yang mahu mencari kekayaan cepat.

“Kalau dipindahkan kepada orang lain, maka kontrak itu akan terbatal. Kalau tidak ada kemampuan, jangan cuba dapatkan kontrak.

“Kalau nak jual (kontrak), maka ia tidak sah untuk dilaksanakan,” katanya.

 


Pengarang :