SELANGOR

Bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor sertai AMANAH

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerjasama PAS dan Umno dalam dua pilihan raya kecil (PRK), baru-baru ini akhirnya mendorong bekas Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Selangor, Hairul Nizam Tohar meninggalkan parti itu dan memilih menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Katanya, keputusan itu diambil ekoran kecewa dengan PAS menjalin hubungan bersama Umno yang bertanggungjawab merosakkan negara dalam pelbagai aspek.

“Keputusan ini saya buat kerana prinsip tidak boleh bersama kemungkaran dan kezaliman, tambahan pula kita tahu Umno sudah lama merosakkan negara, justeru bila PAS semakin akrab serta intim bersama parti itu, saya tidak gembira.

“Desas-desus PAS mahu bersama Umno sudah lama saya dengar dan kaji. Akhirnya bila PRK DUN Sungai Kandis, ia jadi kenyataan, maka sampailah masa saya meninggalkan PAS,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Kuala Langat berkata, PAS juga dilihat semakin selesa apabila duduk sepentas bersama pimpinan Umno, pada PRK DUN Seri Setia serta secara jelas menyokong MCA yang sebelum ini terang-terangan turut menentang hudud.

Hairul Nizam turut menjangkakan langkah terbaru PAS itu menyebabkan ramai dalam kalangan ahli PAS merasa tidak selesa dengan suasana terbabit dan ia dapat dibuktikan apabila ramai ahli parti itu tidak turun mengundi.

“Pemuda PAS Kota Raja juga memohon penjelasan daripada pimpinan berkenaan langkah bergandingan dengan Umno.

“Saya rasa mungkin ramai lagi akan meninggalkan PAS sama ada untuk bersama parti lain atau sekadar duduk diam,” katanya.

 


Pengarang :