EKONOMINASIONAL

Bela Bumiputera untuk masa depan negara, bukan aniaya kaum lain

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan beliau tidak bersikap apologetik untuk menegaskan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018; Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu bertujuan untuk mencari jalan membela nasib Bumiputera.

Katanya, kongres ini bukan untuk membincangkan perihal satu kaum dan menganiaya kaum lain tetapi ia membicarakan masa depan negara serta memastikan pengagihan kekayaan ekonomi yang adil buat semua.

“Kita menyedari bahawa 71 peratus daripada kumpulan B40 adalah golongan Bumiputera. Peratusan itu bukan sahaja mencatatkan jumlah yang besar namun purata pendapatan isi rumah Bumiputera hanya mencatatkan RM2,400 berbanding bukan Bumiputera RM3,400.

“Hasrat kita adalah mencari usaha bagaimana golongan B40 Bumiputera boleh diberdayakan untuk memasuki kelas menengah.

“Ini akan meningkatkan kuasa beli Bumiputera, menjana pertumbuhan mampan dan akhirnya memberikan manfaat kepada ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), beliau turut membangkitkan persoalan sama ada menjadi satu kesalahan kepada kongres untuk memberdaya golongan Bumiputera yang berintegriti, berkemahiran dan progresif demi kemakmuran negara.

Dalam sidang media sama beliau turut yakin dengan keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberikan pandangan memberdaya ekonomi Bumiputera berdasarkan pengalaman dalam kerajaan serta menerajui pelbagai kementerian dahulu.

“Untuk menjayakan matlamat ini kita memerlukan sokongan dan dokongan dari semua pemegang taruh. Letakkan harapan kepada mereka yang layak. Harapan itu akan digalas dengan jujur dan amanah oleh Kerajaan Baru Pakatan Harapan.

“Saya telah berkhidmat dengan Anwar Ibraham sekian lama. Saya tahu jiwanya, saya tahu wataknya, saya tahu siapa Anwar bin Ibrahim.

“Sebab itulah saya setia bersama beliau sampai hari ini,” katanya.


Pengarang :