EKONOMINASIONAL

Belanjawan 2019: Kerajaan Persekutuan dijangka sedia insentif pikat pelabur

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 SEPT: Usaha menarik pelabur baru domestik dan asing dijangka bakal menjadi keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam belanjawan 2019 nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, ini kerana ekonomi negara dapat dipertingkatkan dengan peningkatan kemasukan pelabur dalam dan luar negara.

“Belanjawan kali ini akan beri tumpuan kepada usaha menggalakkan pelaburan domestik dan asing dengan menyediakan insentif pelaburan yang lebih menarik.

“Memberi insentif pelaburan yang menarik kepada pelabur adalah penting dan kritikal bagi menentukan ekonomi kita terus berkembang pada kadar pertumbuhan ekonomi yang sihat melebihi enam hingga tujuh peratus,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, kerajaan juga disaran meningkatkan sumber pendapatan negara dengan tidak membabitkan pengenalan cukai baru.

Katanya, antara langkah yang boleh diberi perhatian adalah dengan meningkatkan keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, selain menumpukan usaha meningkatkan keuntungan syarikat GLC yang telah dikenal pasti berpotensi, kerajaan juga perlu mengambil langkah berani dengan menjual GLC yang sudah tidak mampu memberi keuntungan kepada kerajaan.

“Kerajaan berusaha meningkatkan hasil dengan ketiadaan GST di mana kerajaan telah gantikan dengan SST tetapi SST tidak mencukupi untuk menjana pendapatan yang cukup untuk kita sasarkan belanjawan berimbang.

“Kita kena lihat dalam segi belanjawan kerajaan, kena cari ruang mana belanja yang kita boleh potong kita kurangkan, mana kementerian dan jabatan yang kita boleh jimatkan perbelanjaan pengurusan tanpa melibatkan kebajikan kakitangan,” katanya.


Pengarang :