NASIONAL

Belanjawan 2019: Negeri dan Persekutuan disaran kekalkan bonus penjawat awam

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kerajaan Negeri dan Persekutuan disaran mengekalkan manfaat diberikan kepada penjawat awam dalam belanjawan 2019 masing-masing yang akan dibentangkan nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, antara manfaat yang perlu dikekalkan termasuklah pemberian bonus atau saguhati yang diberikan kepada belanjawan sebelumnya.

“Kita tak boleh menafikan penjawat awam mainkan peranan sangat penting untuk membangunkan negara termasuk ekonominya kerana segala dasar yang mahu dilaksanakan kerajaan hanya boleh tercapai dengan kerja keras mereka.

“Bagi saya apa sahaja nikmat yang munasabah untuk penjawat awam jangan dipotong sama sekali kerana kesan psikologinya kepada kerajaan tidak baik terutamanya Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) masih baru lagi, ” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, Kerajaan Persekutuan wajar melihat pengalaman Kerajaan Negeri berusaha memperolehi keyakinan penjawat awam dan rakyat Selangor ketika mula-mula menguasai Kerajaan Negeri pada 2008 lalu.

Katanya, ketika itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), kerajaan baru PAKATAN Selangor yang baru dibentuk terpaksa berhadapan kesukaran mendapat kerjasama kakitangan awam.

Bagaimanapun selepas itu sokongan penjawat awam semakin meningkat apabila mereka melihat kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memberi manfaat seperti bonus kepada penjawat awam dan pelbagai insentif lain untuk masyarakat terbanyak.

Katanya lagi, pemberian manfaat seperti bonus bukan sahaja membantu golongan itu membuat persiapan menghadapi musim persekolahan dan perayaan tetapi secara tidak langsung turut memberi impak aliran tunai di dalam pasaran.


Pengarang :