PELANCONGANSELANGOR

Bengkel fotografi usaha Tourism Selangor perkasa pelancongan

OLEH HAFIZAN TAIB

BESTARI JAYA, 23 SEPT: Penganjuran #Discover Selangor Photography Workshop 2018 di kawasan pelancongan adalah usaha dijalankan Tourism Selangor bagi meMperkasakan industri pelancongan di negeri itu.

Pengurus Komunikasi Korporatnya, Ahmad Nazri Tashriq Rahmat berkata, bengkel fotografi itu adalah program tahunan dijayakan bersama PCP Publications yang masuk tahun kedua tahun ini.

“Penganjuran di Selangor Fruit Valley ini adalah yang ketiga dan terakhir tahun ini di mana sebelumnya kita jalankan di Istana Jugra dan Taman Botani.

“Kerjasama dijalankan dengan Selangor Fruit Valley adalah bagi memperkenalkan pelancongan agro di Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bengkel fotografi dijalankan itu menyasarkan penyertaan jurugambar baharu dan profesional selain menjemput pihak media dengan bertemakan pelancongan.

Ini kerana, katanya, Tourism Selangor melihat fotografi sebagai satu bidang yang mampu membantu meningkatkan industri pelancongan di Selangor dengan pelbagai promosi dijalankan.

“Dengan pelbagai gambar dirakam dan disiarkan jurugambar, ia akan membantu memperkenalkan kawasan pelancongan di Selangor.

“Kita akan menjalankan bengkel ini lagi pada tahun depan dan mungkin akan dijayakan dengan penyertaan peserta lebih besar,” katanya.

Inisiatif memperkenalkan produk pelancongan negeri dijalankan Tourism Selangor menerusi kempen #TakeMeAnyWhere dan ia seiring promosi digital di media sosial #DiscoverSelangor dan Heart of Malaysia.


Pengarang :