ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Berhati-hati ketika hujan lebat, angin kencang- MetMalaysia

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca serta mengambil langkah berjaga-jaga susulan kejadian hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan rumah rosak dan pokok tumbang di sekitar ibu negara, petang semalam.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata orang ramai perlu mengelakkan daripada meletakkan kenderaan atau berada di kawasan banyak pokok, papan tanda (street signboard) dan papan iklan (billboard) kerana ia berkemungkinan tumbang, ketika cuaca buruk.

Menurutnya kejadian hujan lebat dan angin kencang ekoran pembentukan awan kumulonimbus, iaitu sumber utama pembentukan hujan ribut petir, disebabkan arus perolakan yang kuat dalam awan berkenaan.

Pembentukan awan kumulonimbus katanya, kerap berlaku di Malaysia yang beriklim tropika.

Dr Mohd Hisham berkata selain mengakibatkan hujan lebat dan angin kencang, ia juga kadang-kala boleh menghasilkan hujan air batu.

“Orang ramai perlu peka dengan keadaan cuaca ini kerana angin yang dihasikan boleh mencecah 100 kilometer sejam, namun ia (kelajuan angin) ini jarang berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang, www.met.gov.my, aplikasi myCuaca pada telefon bimbit pintar, laman sosial Facebook Malaysiamet dan Twitter @malaysianmet, SMS 15888 atau talian hotline 1300 22 1MET (1638).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :