EKONOMINASIONAL

Bumiputera peroleh peluang sama rata untuk berjaya

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas segelintir pihak menuduh kumpulan yang berjaya sebagai ‘kroni kerajaan’ sedangkan peluang diberikan sama rata kepada semua Bumiputera.

Katanya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) membuka peluang kepada golongan Bumiputera berusaha melakar kejayaan bagi meningkatkan pendapatan tetapi hanya segilintir yang serius untuk melaksanakan projek diberikan sehingga berjaya.

“Inilah hasil DEB, ramai yang berkata ia diberi kepada kroni, ia satu kesalahan. Sebenarnya ramai yang mendapat peluang tetapi tidak berjaya. Dari 100 hanya empat atau lima orang yang berjaya tetapi itulah digelar kroni kerajaan.

“Yang dapat peluang dan gagal itu lebih ramai tetapi ditakrif sebagai bukan kroni kerajaan. Mudah menuduh ia sebagai kronisme kerana memberi pertolongan kepada yang berjaya.

“Melihat yang berjaya ini, timbul rasa iri hati dan terus kecam kerajaan mengamalkan kronisme.

“Sebenarnya, kalau tak nak dituduh kronisme, kita kena pastikan semua gagal. Maka tidak dipanggil sebagai kroni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018; Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan memperkenalkan dasar pemberian kontrak menerusi rundingan terus bagi membolehkan lebih ramai Bumiputera mendapat peluang selain mewujudkan ‘Approval Permit’ (AP) dan lesen walaupun keadaan itu menimbulkan rasa kurang senang kaum lain.


Pengarang :