EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Bursa Malaysia meneruskan pergerakan lemah untuk dibuka rendah hari ini, memandangkan pelabur tidak memasuki pasaran untuk meminimumkan risiko menjelang cuti hujung minggu yang lebih panjang selain kebimbangan perdagangan terus menyelubungi sentimen pasaran ekuiti di seluruh dunia.

Bursa Malaysia dijangkakan meneruskan trajektori menurun namun dipengaruhi oleh faktor giliran pengeksport, dalam keadaan ringgit yang lemah.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.17 mata kepada 1,795.33 daripada 1,795.50 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 0.32 mata lebih tinggi pada 1,795.82.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 109 berbanding 107, manakala 147 kaunter tidak berubah, 1,509 kaunter tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 91.46 juta unit bernilai RM27.71 juta.

Maybank Research berkata, pelabur juga dijangkakan menghindari risiko menjelang cuti hujung minggu yang panjang dan berasaskan ketidaktentuan aliran ringgit.

Isnin merupakan cuti gantian sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Ahad manakala Selasa adalah cuti umum bagi Awal Muharam iaitu permulaan tahun baharu Islam.

Kenanga Investment Bank berkata, unjuran teknikal jangka panjang bagi indeks penanda aras itu kekal positif dengan petunjuk momentum utama menunjukkan petanda baik, namun ringgit yang lemah akan menjejaskan pasaran saham.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata pergerakan pertumpuan/pencapahan purata mingguan yang pantas bagi indeks utama itu kekal kukuh, namun dengan momentum meningkat yang perlahan.

“Memandangkan momentum itu dipengaruhi penurunan yang berterusan, indeks utama perlu mencapai paras sokongan 1,783 supaya aliran meningkat keseluruhan kekal tidak terjejas,” menurut bank itu dalam satu nota.

Antara saham wajaran tinggi, CIMB naik dua sen kepada RM5.89, Maybank susut empat sen kepada RM9.83, PBBank kurang satu sen kepada RM24.88, manakala Tenaga dan PChem masing-masing turun dua sen kepada RM15.70 dan RM9.41.

Antara saham rugi, Nestle merosot 20 sen kepada RM146.30, HEIM turun lapan sen kepada RM21.20, AirAsia susut tujuh sen kepada RM3.09, mnakala Airport (MAHB) dan Mulpha masing-masing kurang enam sen kepada RM9.18 dan RM2.16.

Saham aktif, BornOil meningkat setengah sen kepada enam sen, AMedia naik satu sen kepada 13.5 sen, PWorth turun setengah sen kepada 4.5 sen, MyEG susut satu sen kepada RM1.63 dan SapNRG tidak berubah pada 34 sen.

Indeks FBM Emas turun 3.86 mata kepada 12,562.94, Indeks FBMT 100 susut 4.54 mata kepada 12,371.77 dan FBM 70 kurang 18.02 mata kepada 14,987.76.

Bagaimanapun Indeks FBM Emas Syariah meningkat 2.76 mata kepada 12,694.16 dan Indeks FBM Ace bertambah 20.03 mata kepada 5,186.05.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan kurang 23.29 mata kepada 17,750.62, namun Indeks Perusahaan menokok 5.35 mata kepada 3,221.38 dan Indeks Perladangan naik 2.41 mata kepada 7,511.12.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :