EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah, pelabur berhati-hati situasi perang ekonomi

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Harga saham di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, seiring dengan penurunan semalaman di Wall Street, dengan para pelabur terus berhati-hati dengan situasi pertelingkahan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China apabila tarif baharu yang dikenakan AS berkuat kuasa semalam, kata para peniaga.

Pada 9.07 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.66 mata kepada 1,798.51 daripada paras penutup 1,800.17 pada Isnin, selepas dibuka 2.03 mata lebih rendah hari ini pada 1,798.14.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 110 berbanding 103, dengan 181 tidak berubah, 1,504 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 145.53 juta unit bernilai RM61.56 juta.

Maybank IB Research dalam nota penyelidikannya hari ini berkata pasaran ekuiti dijangka berada dalam tekanan hari ini selepas AS dan China masing-masing saling berbalas mengenakan tarif mereka yang paling tinggi.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata saham minyak dan gas akan terus menarik minat selepas harga minyak melonjak semalaman.

“Dari segi teknikalnya, kami menjangka FBM KLCI diniagakan antara paras 1,790 dan 1,820 hari ini. Paras sokongan rendah pada 1,780 dan 1,760,” kata Maybank IB Research.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan CIMB Group turun dua sen setiap satu masing-masing kepada RM24.98 dan RM6.01, Tenaga susut empat sen kepada RM15.48, Petronas Chemicals berkurangan lima sen kepada RM9.41, manakala Maybank naik satu sen kepada RM9.80.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy menokok 1.5 sen kepada 44.5 sen dan Hibiscus Petroleum naik empat sen kepada RM1.17 manakala Borneo Oil dan Reach Energy tidak berubah masing-masing pada 5.5 sen dan 43.5 sen.

Syarikat yang memulakan dagangan sulung di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP), Amlex Holdings Bhd, naik setengah sen kepada 15.5 pada pembukaannya.

Indeks FBM Emas turun 4.56 mata kepada 12,535.88, Indeks FBMT 100 berkurangan 5.60 mata kepada 12,345.98 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 0.33 mata kepada 12,680.58.

Indeks FBM Ace berkurangan 9.39 mata kepada 5,139.51 manakala FBM 70 meningkat 15.52 mata kepada 14,777.09.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 9.54 mata kepada 17,828.53 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.33 mata kepada 176.83, manakala Indeks Perladangan naik 6.63 mata kepada 7,532.05.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :