BERITA UTAMASELANGOR

Cadang bina hospital di Sepang bagi kemudahan penduduk

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 15 SEPT: Kerajaan Negeri mencadangkan satu tapak lokasi bagi pembinaan hospital untuk mengatasi masalah ketiadaan kemudahan itu, di daerah ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tapak lokasi berhampiran Kem Bina Negara Tanjong Rhu itu bagi memenuhi keperluan orang ramai khasnya masyarakat tempatan, selain meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, di Selangor.

“Kerajaan Negeri tiada halangan dan mencadangkan satu kawasan bagi pembinaan hospital di daerah ini dan berharap Kerajaan Persekutuan membantu serta menyalurkan peruntukan bagi pembinaannya.

“Dianggarkan pembinaannya membabitkan kos lebih kurang RM300 juta,” katanya kepada media selepas lawatan ke tapak cadangan, di sini.

Acara itu ialah salah satu program dalam siri Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar ke daerah Sepang, semalam.

Beliau berkata, bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan, penduduk di sini terpaksa menuju ke hospital Seremban, Cyberjaya dan klinik swasta di Nilai.

Bagaimanapun, katanya, terdapat hampir 500 laporan merujuk penduduk di sini mengunjungi hospital Seremban bagi tujuan berkenaan.

“Berdasarkan peruntukan tinggi bagi pembinaan hospital di sini, kita juga menilai dan memberi keutamaan kepada daerah lain seperti di Sabak Bernam, Kapar dan Hulu Selangor.

“Ia antara titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk kita meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di Selangor,” katanya.

 


Pengarang :