SASTERA

Catatan: Masuk ke muzium-pulau seni

Oleh Abdullah Jones

Pulau Naoshima yang menjadi “pulau impian” kepada pengemar seni halus, terletak di pinggir di Seto Inland Sea di antara Lautan Jepun dan Lautan Pasifik. Pulau kecil itu seolah-olah ada di kawasan Mediterranean yang pantainya yang memiliki pasir memutih dan juga pohon-pohon pinus melambai sepanjang pantai.

Jika tidak kerana kebersihan dan binaan bangunan yang menampakkan seni bina Jepun, maka kita pasti tidak menjangka yang kita sedang berada di sebuah pulau di negara Jepun.

Kami disambut oleh Labu Merah karya Yayoi Kusama setiapnya di pulau tersebut di samping sebuah tempat letak motosikal seakan-akan kubu perang tetapi lebih besar yang kemudiannya kami dapati adalah karya Tadao Ando.

Pulau berkenaan juga dikenali sebagai Pulau Ando, sempena nama arkitek terkenal asal Jepun yang pernah menang Hadiah Pritzker — seakan-akan hadiah nobel bagi para arkitek — Tadao Ando. Projek menjadikan pulau itu sebagai pulau seni dimulakan Souchiro Fukutake, pengerusi Benees House Holding yang membeli tanah di pulau tersebut pada tahun 1987. Ando dipilih untuk mereka membentuk keseluruhan pulau dengan syarat ia hendaklah mengekalkan bentuk asal muka bumi pulau berkenaan.

Di pintu masuk Chichu Art Museum sementara menunggu pintu muzium dibuka, kami berkenalan dengan Hama-san, tukang sapu muzium berkenaan, berusia dalam lingkungan 80-an. Beliau fasih berbahasa Inggeris dan sedikit bahasa Malaysia kerana pernah bertugas dengan syarikat cari gali minyak di Kemaman, Terengganu dan pernah tinggal di Kuantan pada tahun 70-an.

Kami memeluknya apabila beliau mengatakan pantai di Naoshima tidaklah secantik pantai-pantai di Kuantan dan Terengganu. Bukan kerana beliau mengatakan yang pantai di Malaya lebih cantik dari yang ada di Naoshima tetapi kerana beliau menyebut Kuantan! Tanah penuh luka itu — jangan sangka bukan-bukan — yang kami maksudkan luka adalah apabila tanah dikorek manakala hutannya ditebang sesuka hati, tanpa belas.

 

Dari Hama-san, kami diberitahu yang Chichu Art Museum tidak mempamer banyak lukisan. Yang perlu dinikmati adalah bagaimana karya seni yang dipilih lalu dipamer di dalam muzium tersebut sambil mengambil kira persekitarannya.

“Kamu akan masuk ke dunia lain…” kata beliau kepada kami.

Di luar muzium, dibina taman-taman seakan-akan yang dilukis pelukis Claude Monet, lengkap dengan teratai dan juga pohon Weeping willow. Berlatar belakang taman inilah kami berbual dengan jurutera bersara itu. Setelah bersara, beliau bekerja sebagai tukang sapu di Chichu Art Museum. Sesiapa yang meminati karya arkitek Tadao Ando pasti tahu mengenai rekaannya yang terkenal minimalis.

Dengan hanya menggunakan simen yang tidak dipalas serta memainkan cahaya semula jadi, Chichu Art Museum adalah suatu bangunan yang mengkagumkan. Ia dibina di dalam tanah sebuah bukit. Dari luar, kamu tidak akan dapat melihat bangunannya kecuali tingkap-tingkap kaca yang dibina sebagai sebuah karya yang dapat kamu nikmati hanya apabila kamu masuk ke dalam muzium berkenaan.

Ando tidak dibenarkan untuk merubah sebarang lanskap bukit berkenaan. Beliau taat dengan keputusan itu lalu membina sebuah bangunan yang amat gah tanpa perlu memusnahkan. Beliau membina Chichu Art Museum di puncak bukit tetapi jika dilihat dari jauh, tidak kelihatan sebarang binaan kerana bangunan tersebut telah ‘ditimbus’ kembali setelah dibina bagi mengekalkan bentuk asal muka bumi pulau tersebut.

Chichu Art Museum dibuka kepada orang ramai pada tahun 2004. Kami hitung di dalamnya hanya terdapat empat keping Water Lily karya Claude Monet yang ditempatkan dalam satu dewan melengkung. Kami tidak dapat menggambarkan dengan tepat betapa asyiknya menikmati karya Claude Monet yang dipersembahkan dalam keadaan demikian.

Kemudian, kami masuk pula ke dewan yang mempamer karya Walter de Maria. Dalam sebuah bilik yang bertangga dengan sebiji bola yang kami kira diperbuat dari granit diletak di pertengahan, kamu akan terpegun menikmati karya yang sangat ringkas itu. Kami merasakan bahawa arkitek dan pengkarya bekerjasama dalam menghasilkan sebuah persembahan yang pada pandangan kami sangat mengujakan. Kami menjangka kerja seni itu dihasilkan dengan amat cerdik. Banyak masa kami dihabiskan di sini hanya untuk melihat karya tersebut dari sisi yang berlainan.

Bagi kami yang meminati hasil kerja Tadao Ando, menyaksikan bangunan Chichu Art House seolah-olah satu pilgrimage.


Pengarang :