GLOBALSAINS & INOVASI

China guna teknologi AI atasi masalah kekurangan doktor

SHANGHAI 22 SEPT: Teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bakal digunakan di China bagi membantu masalah kekurangan doktor.

China memiliki kurang daripada 12 juta kakitangan kesihatan pada tahun 2017 dengan populasi negara itu yang mencecah hampir 1.4 bilion, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.

 

Terbaharu, sebuah syarikat teknologi tinggi tempatan membangunkan peranti kecil yang mempunyai gelang separuh terbuka bagi merekodkan kadar degupan jantung.

Ia merupakan salah satu usaha yang menyasarkan untuk membantu masalah kekurangan doktor dengan menggabungkan data besar dan teknologi AI.

Peranti yang dihasilkan oleh Ping An Good Doctor itu dipamerkan pada Ekspo AI Dunia 2018 di Shanghai ketika pembuat dasar China berusaha untuk menjadikan negara itu sebagai pendahulu teknologi global.

Salah seorang pengunjung ekspo itu, Qu Jiangquo, 64, berkata dia datang ke Shanghai untuk melihat bagaimana rawatan perubatan gaya China boleh dilakukan tanpa doktor sebenar.

“Saya telah mencuba peralatan yang mengambil denyutan nadi secara automatik dan menerima hasil dalam tempoh dua minit melalui telefon bimbit. Tanpa kehadiran seorang doktor, itu akan menjadi sangat mudah,” katanya.

Ping An Good Doctor yang tersenarai di Hong Kong baru-baru ini mempunyai salah satu platform penjagaan kesihatan dalam talian terbesar China dengan 228 juta pesakit berdaftar.

Jurucakap syarikat, Bi Ge berkata, mereka menerima 500,000 permohonan bagi mendapatkan nasihat perubatan setiap hari.

Mesin mengambil denyutan nadi itu merupakan sebahagian daripada sistem bantuan perubatan AI Ping An Good Doctor yang membolehkan pesakit melakukan pemeriksaan awal segera dan mendapatkan preskripsi tanpa perlu ke hospital.

Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk aplikasi telefon pintar dengan pesakit memasukkan data peribadi, sejarah perubatan dan menerangkan simptom yang dialami kepada ‘penyambut tetamu’ AI yang akan menghantar maklumat berkenaan kepada doktor sebenar untuk didiagnosis.

“Ia pasti dapat mengurangkan masalah kekurangan doktor di China,” kata bekas doktor di Hospital Kolej Perubatan Kesatuan Peking, Liu Kang.

SUMBER: AFP


Pengarang :