GLOBAL

China tutup 4,000 laman web sekat aktiviti haram dan bahaya

OLEH SHEEDA FATHIL

CHINA, 23 SEPT: Sebanyak 4,000 laman web dan akaun di China ditutup bertujuan menyekat maklumat yang mengundang bahaya.

Memetik sumber Reuters, negara itu berusaha mengawal dan mengambil tindakan untuk menghalang aktiviti haram seperti pornografi, perjudian, penyebaran agama dan khabar angin daripada tersebar berleluasa.

Difahamkan, kempen berkenaan dilancarkan pada Mei 2018 di mana pihak berkuasa menangani 120 kesalahan dan mengarahkan 230 firma mengambil langkah menyelesaikannya.

Manakala, lebih daripada 147,000 maklumat berbahaya dibuang pada penghujung Ogos lalu, menurut Pejabat Kebangsaan bagi Menentang Pornografi dan Penerbitan Haram.

Berdasarkan laporan, kempen itu mensasarkan kandungan di talian yang menyebarkan nilai tidak wajar, bahan lucah melampau serta yang melanggar hak cipta.

Malah, difahamkan, pada minggu lalu, pihak berkuasa di negara itu mengumumkan bahawa mereka memberhentikan satu platform siaran langsung pornografi tempatan menggunakan transmisi dari Kemboja dengan lebih 3.5 juta pengguna berdaftar.


Pengarang :