SUKANKINI

Cub Prix: Adib tekad tebus kecewa di Perlis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 SEPT: Md Adib Rosley mahu melupakan kekecewaan di Teluk Intan dan bertekad menamatkan perlumbaan di kelompok depan dalam saingan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, pada 22 dan 23 September ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing itu gagal menamatkan perlumbaan pusingan lalu selepas tuas gear jentera patah akibat insiden kemalangan dialami, di selekoh pertama.

Lebih malang, dua lagi rakan sepasukan, Md Izzat Zaidi Salehan dan Azhar Abd Jalil turut gagal menamatkan perlumbaan, sekali gus gagal membawa pulang sebarang mata individu dan juga berpasukan.

Adib berkata, selepas terjatuh pada perlumbaan itu, beliau masih dapat meneruskan perlumbaan, namun selepas satu pusingan gear jentera patah hingga menyebabkannya terkeluar.

“Memang kecewa kerana gagal memungut sebarang mata dan semakin ketinggalan dalam senarai keseluruhan. Lebih malang, Izzat dan Azhar juga mengalami nasib serupa, di Teluk Intan.

“Pasukan juga rugi kerana gagal menambah mata, namun kami tekad bangkit menebus kehilangan mata, di Perlis, minggu ini.

“Berdasarkan rekod kali terakhir kami berlumba di Kangar pada 2016, saya berjaya menaiki podium dan mudah-mudahan dapat mengulanginya, kali ini,” katanya.

Selepas lima pusingan, Adib kini berada di tangga kesembilan keseluruhan dengan 31 mata, jauh ketinggalan kepada pendahulu, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) (115 mata).


Pengarang :