SUKANKINI

Cub Prix: CKJ Racing Takluk Teluk Intan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 SEPT: Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing meneruskan dominasi musim ini dengan satu lagi keputusan satu-dua melalui gandingan Ahmad Afif Amran dan Mohd Hafiz Nor Azman pada pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, semalam.

Litar sepanjang 1.305 km itu jelas sesuai dengan gaya tunggangan Afif yang mantap.

Bermula dari petak pertama setelah menguasai sesi SuperPole, Afif langsung tidak digugat pesaingnya sepanjang 20 pusingan perlumbaan dan pelumba dari Terengganu itu berjaya memperoleh kemenangan ketiga musim ini dengan catatan masa 17’15.623s.

Rakan sepasukan, Mohd Hafiz berjaya menaiki podium di tempat kedua dengan masa 17’22.237s. diikuti pemenang tempat ketiga, Mohd Hafiza Rofa dari ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 17’24.225s.

Sementara pasukan CKJ meraikan kejayaan satu-dua yang kedua musim ini, pasukan digeruni ramai, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pula bergelut dengan pusingan paling mencabar dan keputusan terbaik diperoleh menerusi Mohd Ramdan Rosli yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam di belakang Rozaiman Said dan Helmi Azman.

Kerosakan mekanikal menyebabkan Mohd Akid Aziz terpaksa menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama sementara Kasma Daniel Kasmayuddin juga terjatuh di selekoh pertama pada pusingan permulaan.

Afif berkata, jentera pasukan begitu mantap musim ini dan ia adalah hasil titik peluh dan usaha gigih kru kejuruteraan pasukan itu.

“Saya begitu yakin dengan jentera kami hasilkan bersama dan ketika dalam perlumbaan, saya hanya menumpukan sepenuh perhatian untuk mengekalkan rentak perlumbaan tanpa menghiraukan apa berlaku di belakang.

“Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua dalam pasukan,” katanya.

Afif, yang telah menaiki podium sebanyak lima kali berturut-turut musim ini mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan 115 mata manakala Mohd Hafiz naik ke tangga kedua (74 mata) sekali gus menolak Kasma Daniel Kasmayuddin turun ke tangga ketiga (70 mata).

Sementara itu, Tengku Amirul Hafiruddin kembali gah ke podium teratas kategori CP115 apabila berjaya mencatat kemenangan dengan catatan masa 13’50.314s iaitu 3.721 saat di hadapan pesaing di kelompok kedua.

Ahmad Syukran Aizat pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 13’54.035s diikuti Mohd Fareez Afeez di tempat ketiga (13’55.254s).

Kemenangan terbaharu ini memberi kelebihan 40 mata kepada Tengku Amirul dengan pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas dengan 113 mata manakala Mohd Fareez Afeez naik ke tangga kedua (73 mata) dan Mohd Haziq Mohd Fairues jatuh ke tangga ketiga (71 mata).

Dalam kategori Wira KBS pula, Mohd Syarifuddin Azman berjaya meraih kemenangan kedua berturut-turut musim ini di mana pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing itu memulakan perlumbaan dari garisan pertama, berjaya merampas holeshot dari pelumba di petak pertama iaitu Mohd Danial Syahmi dari pasukan SIC Junior Team AFB TECH Racing.

Syarifuddin membuktikan beliau mampu menangani tentangan hebat Danial Syahmi hingga menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa 11’15.080s.

Danial Syahmi terpaksa akur di tempat kedua dengan catatan masa 11’15.683s manakala tempat ketiga disambar Mohd Alif Ashraf Tahiruddin (11’15.700s).

Namun demikian, Danial Syahmi mempamerkan prestasi cukup konsisten musim ini, berjaya mengekalkan kedudukannya di tangga teratas dengan 97 mata diikuti Mohd Alif Ashraff Tahiruddin di tangga kedua (72 mata) dan Mohd Fadlyshah Redzuan, ketiga (60 mata).

Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS akan bersambung dengan pusingan keenam di Kangar, Perlis pada 22 dan 23 September nanti.

KEPUTUSAN PUSINGAN 5, TELUK INTAN, PERAK

CP150

1. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 17:15.623s
2. Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 17:22.237s
3. Md Hafiza Rofa (TRG) ONEXOX TKKR Racing Team 17:24.225s
4. Md Rozaiman Md Said (PNG) AHM Motorsports Yamaha Racing 17:41.015s
5. Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 17:41.693s

Kedudukan Keseluruhan

1. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 115 mata
2. Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 74 mata
3. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 70 mata
4. Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 45 mata
5. Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 40 mata

CP115

1. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:50.314s
2. Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 13:54.035s
3. Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:55.254s
4. Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 13:55.801s
5. Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:56.067s

Kedudukan Keseluruhan

1. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 113 mata
2. Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 73 mata
3. Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 71 mata
4. Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 70 mata
5. Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 55 mata

WIRA KBS

1. Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 11:15.080s
2. Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 11:15.683s
3. Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA 11:15.700s
4. Md Harith Haziq Zamri (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 11:20.920s
5. Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 11:22.781s

 

Kedudukan Keseluruhan

1. Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 97 mata
2. Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA 72 mata
3. Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 60 mata
4. Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 58 mata
5. Md Harith Haziq Zamri (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 42 mata


Pengarang :