SUKANKINI

Cub Prix: Pusingan kelayakan di Kangar dibatalkan ekoran tumpahan minyak

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 SEPT: Sesi kelayakan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis dibatalkan selepas sesi kelayakan kategori WIRA KBS berikutan insiden tumpahan minyak di litar sepanjang 0.9 kilometer, semalam.

Insiden tumpahan minyak berlaku sewaktu sesi kelayakan kelas WIRA KBS B dan faktor cuaca hujan menjadikan keadaan lebih berisiko.

Walaupun langkah bagi menangani masalah itu dilakukan marshal perlumbaan namun Pentadbir Perlumbaan (Clerk of the Course) bersama pegawai perlumbaan dan pengurus pasukan memutuskan untuk tidak meneruskan sesi sebelah petang atas faktor keselamatan.

Terdahulu, Mohd Hafiz Nor Azman dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing muncul pelumba terpantas sesi latihan sebelah pagi kelas CP150 dengan catatan 40.709s manakala Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) mencatat masa terpantas kelas CP115 dengan masa 42.868s sementara Mohd Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB Tech Racing) dalam kelas WIRA KBS dengan masa 44.276s.

Semua sesi perlumbaan akan bersambung seperti dijadualkan, hari ini.


Pengarang :