NASIONAL

Cukai RM16 bilion tetap hilang walau guna sistem perakaunan tunai terubah

PUTRAJAYA, 2 SEPT: Sebanyak RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik tetap hilang daripada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) sama ada kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah atau sistem akruan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang disahkan Jabatan Akauntan Negara yang juga menggunakan sistem perakaunan tunai terubah, menunjukkan baki kredit yang belum dibayar balik kepada pembayar cukai adalah berjumlah RM16.046 bilion setakat 31 Mei, 2018.

“Keadaan begitu serius apabila Ketua Pengarah LHDN ada menulis surat secara rasmi kepada bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah pada 2016, untuk meminta lebih banyak wang dipindahkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan kepada TBBC, tetapi tidak diambil peduli olehnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 1.65 juta individu dan syarikat tidak menerima bayaran balik cukai berjumlah RM16 bilion sejak lebih enam tahun lepas.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Menteri Kewangan, menerusi catatan di laman Facebook beliau semalam berkata Lim tidak memahami bahawa kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah dan bukan standard perakaunan akruan sebagaimana digunakan di sektor swasta.

Menurut Najib, Lim membuat kesimpulan yang salah kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu telah tersalah lapor cukai yang belum dikembalikan sebagai pendapatan dan menuduh kerajaan BN sebagai memalsukan akaun.

Menjelas lanjut, Lim berkata tunggakan besar bayaran balik sebanyak RM16 bilion, sehingga melebihi enam tahun itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan oleh Mohd Irwan Serigar, tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dipohon oleh LHDN.

“TBBC adalah akaun amanah yang ditubuhkan di bawah Seksyen 111B Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi tujuan penyaluran peruntukan daripada Akaun Wang Yang Disatukan, untuk pembayaran balik cukai.

“Perlu ditegaskan bahawa di bawah Seksyen 111B(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, hanya Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berkenaan jumlah peruntukan yang disalurkan daripada Akaun Wang Yang Disatukan ke TBBC,” katanya.

Lim berkata, soalan penting yang harus dijawab oleh Najib adalah mengapa bekas perdana menteri itu membenarkan RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik itu, untuk tidak dikembalikan kepada 1.65 juta pembayar cukai dalam masa yang ditetapkan mengikut undang-undang.

“Bukan sahaja pihak polis yang kini menjalankan siasatan ‘pecah amanah’ di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berminat terhadap perkara ini, tetapi rakyat juga ingin tahu jawapan kepada perkara berkepentingan awam ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :