EKONOMI

Dagangan Malaysia-Filipina akan berkembang dua angka

KUALA LUMPUR 26 SEPT: Dagangan dua hala antara Malaysia dan Filipina dijangka terus mencatatkan pertumbuhan dua angka tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming.

Tahun lalu, dagangan dua hala negara berkenaan meningkat 26.2 peratus kepada AS$5.94 bilion (AS$1=RM4.135).

Dalam ucaptama pada Forum Pelaburan Filipina 2018, Ong berkata, di sebalik pembabitan dalam hubungan dua hala dan program sub-serantau (Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina) potensi dagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara masih banyak yang belum diteroka.

“Justeru, adalah penting untuk meningkatkan hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara,” katanya dan menambah, satu bidang yang boleh diperhatikan adalah industri halal,” katanya.

Ong menyatakan bahawa Malaysia boleh bekerja dengan Filipina dalam memperbaiki akses pasaran dan kapasiti pengeluaran produk halal serta perkhidmatan berkaitan.

Katanya, selain produk pengguna, syarikat Malaysia boleh meneroka sektor perkhidmatan halal, termasuk restoran halal dan perniagaan francais makanan halal di Filipina.

Ong turut menjemput perniagaan di Filipina memulakan operasi di Malaysia terutama di kawasan perdagangan halal yang disediakan.

Ini katanya, akan membolehkan mereka mengambil peluang daripada akses kepada bahan mentah, kandungan dan perkhidmatan halal, juga infrastruktur logistik yang dibangunkan dengan baik bagi mencapai pasaran utama Muslim di Indonesia, sub-benua India dan Timur Tengah.

Malaysia disenaraikan sebagai pelabur kedua terbesar di Filipina tahun lalu dalam kalangan negara ASEAN dengan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM196 juta.

Mengulas kesan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China terhadap ASEAN, Ong berkata, Filipina terdedah kepada kesan yang dibawa konflik berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua negara berkenaan bersama anggota ASEAN lain seharusnya melihat ketegangan perdagangan AS-China dari sudut yang positif – sebagai prospek untuk potensi dagangan, katanya.

ASEAN harus mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku saat ini untuk menjadi hab berikutnya bagi pelaburan masa depan, dan dengan meningkatnya perang perdagangan, Malaysia menjangkakan akan ada pengalihan modal ke ASEAN.

“Ini adalah tempatnya di mana negara ASEAN harus bekerja bersama untuk menarik FDI dari China dan AS ke rantau ini. Di sebalik negara anggota ASEAN bersaing sesama sendiri, kita boleh mengambil peluang ini untuk bekerja bersama dan menawarkan pakej menarik untuk pelabur asing,” tambahnya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :